Thursday, June 18, 2009

Bunga oh bunga!

Bunga-bungaan adalah kemestian di dalam aspek hiasan rumahtangga. Sepasu di atas meja makan, sejambak di sudut ruang tamu dan pelbagai lagi ruang yang ada. Ada di kalangan wanita yang tidak berapa sukakan jambangan bunga apalagi yang bercirikan plastik. Mereka mungkin memilih gaya minimalis atau zen style mengikut trend terkini.

Tetapi ada wanita yang sangat menggemari bunga. Ini termasuklah ibu saya sendiri. Hampir setiap sudut dihiasi bunga. Hampir setiap meja terletak bunga. Hampir setiap para juga dibariskan dengan bunga. Dan tidak ketinggalan, bilik air di rumah ibu kesemuanya memiliki jambangan bunga masing-masing! Begitulah hebatnya penangan bunga sebagai hiasan bagi mereka penggemar bunga.

Ramai orang yang menggemari bunga akan membeli, menggubah dan kemudian diletakkan di tempat-tempat tertentu. Setelah sekian lama, bunga ini akan kelihatan berselupat diselaputi sawang kecil dan debu. Ada pemilik rumah yang perasan dan ada yang tidak. Seelok-eloknya, bunga yang dibeli dahulu dijaga agar tahan lama dan tidak dibiarkan hilang serinya. Apalagi sehingga mengumpul debu dan kotoran yang merosakkan pandangan dan juga kebersihan.

Penjagaan bunga agak remeh. Mungkin kerana ini ramai wanita bekerjaya memilih bunga yang ringkas dan kurang rimbun agar kurang menggalakkan pengumpulan debu. Walau bagaimanapun sekiranya bunga hiasan tetap jadi pilihan, berikut adalah langkah penjagaannya.

Ibu saya mengamalkan mencuci bunga-bungaan sekurang-kurangnya setahun sekali. Terutama berdekatan Hari Raya. Apa yang ibu saya lakukan adalah mencabut kuntuman bunga dari gubahan dan bilas dengan air agar sedikit bersih. Kemudian bunga-bungaan tadi direndam di dalam larutan air sabun. Anda boleh lah melakukan kerja-kerja lain sementara debu dan kotoran tadi tanggal dalam larutan air sabun. Setelah 1 hingga dua jam, bolehlah membilas bunga-bungaan tadi dan pasti mereka sudah bersih kembali! Bolehlah anda kembali menggubah seperti gubahan asal tadi.

Sekiranya anda tidak suka bekerja dalam keadaan basah, anda boleh saja mengamalkan aktiviti meng'vakum' bunga anda secara rutin. Jadi setiap kali anda meng'vakum' rumah, anda bolehlah meng'vakum' sekali kuntuman kesayangan anda. Jika diamalkan selalu, pasti debu dan kotoran tidak akan melekat secara kekal.

Thursday, June 11, 2009

Penjagaan permaidani

Siapa yang tidak gemar rumah yang berhias cantik. Hiasan rumah tidak lengkap rasanya tanpa permaidani yang terhampar. Kalau tak sepuluh dibeli, sekurang2 nya kita hamparkan satu di ruang tamu sebagai penaik seri. Dengan pilihan yang pelbagai warna dan corak di kedai2 permaidani, sekali-sekali pasti tercuit hati untuk membeli. Hutang pun tak mengapa...

Ibu saya juga penggemar permaidani. Hampir keseluruhan lantai di baluti permaidani pelbagai gaya. Hampir setiap hari juga permaidani di vakum untuk menghilangkan debuan halus atau sebarang kekotoran yang boleh disedut. Tidak memadai dengan itu, bulu permaidani di bahagian hujung dan pangkal (jika ada) juga disikat agar selari dan tidak kelihatan berselerak.

Setelah dibentangkan di lantai, permaidani tadi bukan sekadar alat hiasan tetapi juga menjadi mangsa pijakan kaki manusia. Kesan kotoran makin lama semakin menjadi. Ada calitan kotoran yang tidak hilang hanya dengan di vakum. Tidak hairan lah setelah bertahun2, permaidani tadi menjadi semakin kusam dan agak kelabu asap.
Untuk mereka yang mampu, pasti boleh memilih untuk membuang terus permaidani yang kusam tadi dan digantikan dengan yang baru. Tetapi masih ada yang ingin berjimat lalu pilihan yang ada ialah mencuci semula permaidani yang sedia ada.

Bagi mereka yang tinggal di rumah yang mempunyai laman mungkin boleh menarik permaidani ke luar untuk dibasuh sekali sekala bila mempunyai kekuatan tenaga. Tetapi bagi mereka yang tinggal di apartment, tidak mempunyai keistimewaan ruang untuk menyental permaidani.

Pilihan yang ada ialah menghantar ke kedai dobi. Banyak kedai dobi masakini yang juga menyediakan perkhidmatan mencuci karpet atau permaidani. Terserahlah untuk kita memilih perkhidmatan yang terbaik. Yang penting, sinar permaidani tadi mungkin boleh diserlahkan semula.

Kalau merasakan penjagaan permaidani melecehkan, tidak usah lah kita terpedaya dengan pujuk rayu penjual permaidani. Sekarang sudah terdapat pilihan pelbagai ruang sebagai alas pengganti permaidani, seperti tikar buluh, tikar Sarawak, dan berbagai lagi jenis lain yang lebih mudah diselenggara.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...