Tuesday, December 28, 2010

Punggah dan kemas

Sewaktu kecil saya sering menemani ibu untuk sesi punggah dan kemas. Memang leceh, dan lebih mudah jika dibiarkan sahaja barangan berlapuk di dalam almari. Setelah saya dewasa sekarang, saya dapati memunggah barangan juga memerlukan skill tersendiri. Tanpa skill punggah dan kemas, saya perhatikan ramai teman saya yang terpinga2 apabila sesekali datang hasrat untuk merapikan persekitaran mereka.

Memang terdapat sebahagian dari kita yang kurang cekap dalam bab mengemas. Sesekali berminat dan datang motivasi untuk mengemas, kita punggah segala barang dengan niat untuk menyusun dengan lebih rapi. Tetapi bila kesemua barang telah dipunggah, kita menjadi bingung pula memikirkan kaedah susunan yang menarik serta kemas dan rapi....

Sebenarnya memunggah barang pun memerlukan sistem. Sebelum kita memunggah barangan yang menimbun dalam almari, stor atau dalam kabinet ruang tamu, pastikan ruang sekeliling kosong. Ini supaya kita mempunyai banyak ruang untuk membahagikan barangan yang kita punggah. Apabila kita menarik keluar barangan, kita terus bahagikan kepada kategori-kategori tersendiri. Contohnya majalah dengan majalah, suratkhabar dengan suratkhabar, barang2 besi seperti paku, hook dan sebagainya kita longgokkan sekali; bil2 kita kumpulkan setempat; alatulis juga kita kumpulkan bersama.

Selesai memunggah, kita fikirkan pula kaedah yang sesuai untuk menyimpan semula. Sebaiknya pilih barang yang masih boleh digunakan sahaja. Yang lain jika sudah tidak sudi dipandang lagi, eloklah dibuang sahaja atau diserahkan kepada yang lebih memerlukan. Sediakan tupperware/bekas/kotak untuk menyimpan barang2 kecil seperti alatulis, paku dsbnya. Majalah2 kita kumpulkan sekali dan susun mengikut saiz; bahagian bawah adalah saiz terbesar dan bahagian atas adalah saiz terkecil. Suratkhabar pula kita susun agar tulangnya mengadap ke arah yang sama dan ratakan susunannya.

Sebelum memasukkan semula ke dalam kabinet, wajar kita lap dan vakum debu dan sawang yang bersarang di dalam kabinet. Kemudian kita perlu menentukan susun atur yang menarik dan rapi untuk barangan2 tadi. Tentukan yang mana hendak menggunakan kabinet yang sama dan yang mana perlu dicari tempat simpanan yang berbeza.

Apabila menyusun barangan di dalam kabinet, pastikan tulang majalah dan suratkhabar adalah selari dan menghala ke pintu kabinet agar menarik dan seragam dilihat. Bil2 atau kertas2 nipis sewajarnya dimasukkan ke dalam folder yang bersesuai, samada folder plastik atau kertas. Barang2 kecil dan remeh perlu dibelikan bakul cantik jika menjadi tatapan umum atau masukkan sahaja di dalam tupperware2 aiskrim yang sudah kosong dan disimpan di almari yang bertutup.

Akhir sekali apabila kesemua barang sudah mempunyai tempat 'penginapan' masing2, eloklah di vakum ruang mengemas tersebut kerana sisa2 debu pasti bersepah dan menyebabkan kulit kita berasa gatal. Bersihkan juga diri kita dengan mandi atau sekurang2nya membasuh tangan kita...

Untuk menjalankan tugas punggah dan kemas ini selalunya memerlukan tahap fokus yang tinggi kerana minda kita ligat berfikir untuk mengkategorikan barangan dan juga memikirkan kaedah susunan yang sesuai lagi menarik. Jadi seeloknya cuba pilih waktu yang paling kurang gangguan dan kita pula dalam emosi yang tenang. Pastikan juga ruang persekitaran adalah lapang agar senang kita menyusun barangan.

Friday, December 24, 2010

Sampah dan Tong Sampah

Saya pernah mempunyai seorang teman sekerja lelaki yang sangat pengemas. Meja kerjanya sangat rapi. Fail2 yang tersusun di rak juga dibariskan dengan rapi lengkap berlabel yang seragam. Ini membuatkan saya terus berminat memerhatikan beliau sehingga suatu hari saya ternampak beliau memasukkan sampah kertas ke dalam poket seluarnya sendiri.

Tingkah ini menarik minat saya dan terpacul soalan dari mulut saya menanyakan sebab perbuatan tersebut. Jawabnya: "Atuk saya pesan, kalau jumpa sampah di mana2 (pasti yang bukan busuk dan basah!) masukkan di dalam poket seluar dan bila berjumpa tong sampah, buangkanlah di dalam tong sampah."!

Wah! Jawapan yang sungguh teliti dari segi pengurusan sampah dan datangnya pula dari seorang yang veteran.
Ibu saya juga sangat prihatin tentang penyediaan tong sampah, hasil didikan dari atuk saya. Pernah sekali, sewaktu konvo adik saya di salah satu universiti di negara kita, ibu saya memberikan ceramah ringkas kepada pak guard yang bertugas semata2 kerana ketiadaan tong sampah di ruang legar!...Ibu menegaskan kepentingan adanya tong sampah untuk kegunaan umum. Tanpa tong sampah, orang ramai pasti membuang sampah di merata2 tempat dan pastinya tidak adil menyalahkan mereka. Persekitaran pula akan bersepah seperti kawasan pasar malam!

Seperkara yang sering menjadi rungutan ibu saya adalah kekurangan tong sampah di tempat2 awam. Memang berbeza dengan keadaan di luar negara - biasanya satu tong sampah diletakkan hampir setiap beberapa meter. Memudahkan orang ramai membuang sampah di tempat sepatutnya dan menggalakkan orang awam menjaga kebersihan setempat.

Di rumah sendiri, ibu memastikan tong sampah diletakkan di tempat2 yang convenient : di luar setiap bilik air untuk membuang pampers dan lain2 sampah `peribadi'; di bilik belajar untuk membuang kertas; di ruang dapur untuk membuang segala sisa masakan dan makanan; dan berdekatan bilik2 tidur untuk membuang sisa plastik bungkusan hasil membeli-belah atau lain2. Berbeza dengan sikap sesetengah orang yang hanya mempunyai tong sampah di dapur untuk seisi rumahtangga!

Lokasi tong sampah pula haruslah di tempat2 yang strategik dan tidak mengganggu pandangan mata. Misalnya di belakang pintu bilik, di bawah sinki dapur, atau di balik dinding yang tidak kelihatan di mata umum. Tetapi kalau cantik, mahu ditunjukkan apa salahnya. Zaman sekarang kita punya pilihan pelbagai tong sampah yang cantik, siap bersarung kain bersulam pun ada agaknya....

Pastikan juga tong sampah diisi dahulu dengan plastik kosong agar sampah tidak mencemari bekas tong sampah. Ini juga memudahkan kerja membuang sampah dan tidak menyusahkan si pembuang sampah yang bertugas (kita sendiri!).

Dinasihatkan juga, sekiranya tong sampah adalah untuk sampah yang kering, tidak berapa perlu membeli yang bertutup. Tetapi sekiranya untuk sampah yang basah, elok juga dibeli yang bertutup agar bau tidak menerawang ke segenap bahagian rumah.
Penting diingat bahawa tong sampah perlu diurus setiap hari terutama di bahagian dapur. Plastik sampah diikat dengan kemas dan pastikan tiada air sampah yang menjejeh keluar sebelum mengangkat sampah ke luar rumah untuk dikutip lori pengangkut sampah. Selepas itu, tong sampah ditelek dengan rapi untuk memastikan tiada sisa2 makanan basah atau air sampah yang berlopak di dalam tong sampah tersebut.

Sekiranya ada, tong sampah tersebut akan dibawa ke luar untuk diberus dan dibasuh. Jangan lupa membasuh bahagian luar dan dalam termasuk tutupnya sekali. Ia dijemur seketika sebelum dibawa masuk kembali meneruskan tugasnya sebagai tong bagi sampah sarap.

Kerja membasuh tong sampah ini bunyinya mungkin menggelikan, tetapi sekiranya kita membasuh tong sampah secara rutin, ia tidak akan berselupat dengan daki atau kotoran sekaligus perasaan geli bekerja dengan tong sampah akan dapat diminimakan.

Kalau lebih teliti lagi, tong sampah yang kita letakkan di luar rumah juga elok dibasuh sekali-sekala agar tidak dihurung ulat dan serangga yang boleh merosakkan kesihatan kita.

Sememangnya jika diperhatikan tong sampah di rumah ibu saya, ia tidak berdaki sebagaimana lazimnya tong sampah bahkan mungkin ada yang beranggapan ia kelihatan baru....

Tuesday, December 21, 2010

Menyusun perabut

Mungkin kita pernah mengalami keadaan di mana kita menggaru kepala memikirkan susun atur perabut di rumah kita.

Kadangkala apabila kita melawat rumah teman, kita rasakan susunatur di rumahnya begitu kemas dan harmoni sekali. Apabila kita melawat rumah teman yang lain, kita merasa rumah tersebut kemas tetapi tidak harmoni. Kucar-kacir dan berselerak rasanya.
Untuk mendapatkan keserasian perabut ramai yang sanggup berbelanja untuk mendapatkan perabut yang sama jenisnya. Contohnya, kalau set ruang tamu adalah perabut jati, set ruang makan pun adalah jati juga dan almari2 lain juga terdiri dari produk jati. Begitu juga jika salah satu perabut adalah dari perabut kulit, yang lain2 juga adalah sama. Bahkan ada yang tidak mahu kalah, sanggup mengeluarkan belanja besar untuk mengupah interior designer semata2 untuk mendapatkan keharmonian perabut. Ada juga di antara kita yang cuba meniru gaya rumah teman atau saudara kita dengan membeli perabut yang sama tetapi tidak pula menghasilkan gaya menarik yang sama di rumah kita. Aneh....

Apa yang membuatkan susunan perabut kelihatan harmoni? Banyak kaedah dan strategi yang dibentangkan pakar. Saya ingin menyumbang sedikit info sahaja di sini.

Untuk mereka yang mahu berbelanja sederhana, kita tidak perlu terikut2 dengan kaedah menyeragamkan jenis perabut kita. Kita boleh beli apa sahaja jenis yang kita inginkan, baik jati, English cottage style atau apa2 sahaja. Apa yang penting adalah susunan kedudukan mereka.

Disarankan, perabut2 besar digandingkan dengan perabut kecil sebagai pemanis. Contohnya meja kecil diletakkan bersebelahan kerusi mewah kita. Jika semua perabut besar diletakkan bergandingan, ruang tersebut kelihatan agak sarat. Ini akan menyerlahkan imej mewah bagi mereka yang menggemari imej tersebut.

Perabut dinding pula perlu diletakkan bersebelahan perabut yang agak sama kelebarannya. Ramai orang meletakkan almari lebar bersebelahan almari yang kurus kemudian diletakkan pula bersebelahan meja yang lebar. Lebih manis jika kelebaran tersebut diletakkan mengikut sistem tertentu dari yang paling lebar kepada yang paling kurang lebarnya. Yang paling baik adalah meletakkan perabut bersebelahan perabut lain yang sama kelebarannya. Jadi mata kita melihat kesinambungan perabut tersebut. Tidak lah kita melihat sekejap perabut besar dan kemudian kecil lalu besar kembali. Itu yang menyebabkan rumah tampak berserabut walaupun kemas dan bersih.

Warna juga adalah komponen utama. Jika kita menggunakan warna2 yang lembut, wajar kita pastikan perabut dan aksesori lain adalah dalam warna2 yang bertema lembut. Jika kita menggunakan warna2 yang berat dan kelihatan padat, warna2 perabut dan aksesori lain seeloknya menggunakan tema yang sama.

Tetapi jika kita mencari kelainan, kita selitkan dengan warna yang tiba2 berbeza dan ini membolehkan ia menjadi titik tumpu yang menarik. Anda juga boleh eksperimen dengan kedudukan yang senget untuk satu perabut dan perhatikan impaknya. Ataupun eksperimen dengan jarak antara perabut dan kedudukan yang berbeza.

Secara ringkasnya, perabut boleh disusun mengikut jenis kayu/ texture mereka, warna ataupun saiz mahupun bentuk.

Jika anda pandai menyuai padan, tidak semestinya kita perlu membeli perabut dalam set yang sama. Kadangkala jenis tidak penting, tetapi susun atur dan penyerlahan gaya perabut2 tersebut yang lebih utama.

Sunday, December 19, 2010

Kekemasan holistic!

Dalam blog ini, kita fokus pada rumah sahaja. Tetapi, apa kata kita panjangkan teori mengemas ini kepada ruang2 lain selain rumah kediaman kita. Selain rumah, kita juga perlu memastikan ruang kerja kita di pejabat sentiasa kemas dan bersih. Begitu juga ruang di dalam kereta. Sebenarnya kekemasan itu adalah satu sikap yang sepatutnya perlu diamalkan di mana-mana sahaja.

Jadi pada kali ini saya akan fokus pada dua tempat ini.

Di tempat kerja, kita hendaklah sentiasa pastikan peralatan menulis, fail-fail, buku-buku, hiasan-hiasan kecil tidak berserabut. Tak semestinya kena cantik, cukuplah asal kemas. Kalau nak cantik dan ceria pun boleh juga..tapi janganlah sampai nampak macam kelas tadika pula.


Dalam kereta pula, pastikan tak ada tisu-tisu bergumpal di lantai kereta. Kertas-kertas, bungkusan-bungkusan makanan ringan hendaklah dibuang. Pasir-pasir yang datang dari tapak kasut pula janganlah dibiarkan terlalu banyak sehingga rimas mata memandang. Bukannya apa...bila-bila masa kalau ada orang tumpang kereta, takla segan sangat. Kita pakai baju vogue, beg mahal, kasut high heel, berbau wangi..tiba-tiba kereta kita bersepah pulak. kalau setakat bersepah mungkin boleh tahan lagi, tapi kalau dah sampai kereta berbau...hmm..cepat-cepatla pergi setel. Pening pula kepala orang yang menumpang nanti....
Tapi saya tak nafikan, ada orang perlukan ruang untuk bersepah. Itu dikira the other side of someone's self lah...Contohnya saya sendiri, tempat di mana saya zahirkan sifat bersepah saya adalah di pejabat...tetapi saya pastikan yang bersepah cuma di atas meja. Barang-barang di dalam laci, kabinet fail dan rak buku saya akan susun dengan baik. Cuma yang penting kita kena pandai kawal diri kita. Janganlah bersepah sampai langsung tak berkemas. Kena pandai mengagak. Bila kerja dah siap, saya kemas meja dan lap habuk-habuk yang terdapat pada meja dan komputer.Oleh itu pembaca sekalian, jadikan kekemasan dan kebersihan itu amalan hidup kita...yeah!

Thursday, December 16, 2010

Bersih Tidak Semestinya Suci - Bab 3

Ada beberapa lagi aspek penyucian yang perlu diberi perhatian.

Salah satunya: pemandian bayi. Selepas dibuka baju bayi dan pampers, gunakan lampin untuk memeluk bayi kita. Ini untuk mengelakkan ponggongnya yang belum suci terkena pada pakaian kita . Lebih elok kalau pampers itu dibuka sahaja di bilik air. Biasa kan gunakan besen mandi bayi tu. Masa nak mandikan bayi, kita pun terus masukkan dalam besen mandi itu. Mandikan bayi dan bawa keluar. Lap, pakai bedak, pakai baju. Hmmm.. bersih dan wangi anak kita.

Ha! Bersih tapi belum suci. Sebenarnya, sebelum kita masukkan dalam besen itu, kita perlu membersihkan najis pada bayi tersebut dahulu. Najis muntah di bahagian leher dan najis di kelengkangnya. Kalau ada sink, bersihkan dulu bayi itu serba sedikit di sink. Kalau ada anak yang besar, boleh minta dia tolong bantu menjiruskan air. Dah hilang semua najis pada badan, barulah boleh dimasukkan ke dalam besen. Barulah bayi kita itu, bersih, wangi dan suci. Tapi bagaimana ya kalau ibu-ibu kita yang menguruskan pemandian bayi kita itu…? Uruskanlah dengan hikmah.

Semasa membasuh pakaian pula, ada tiga jenis pakaian yang perlu diasingkan. Seluar dalam (kecuali yang pakai panti liner), pakaian bayi dan pakaian kita yang terkena najis. Tau kenapa pakaian bayi perlu diasingkan. Kerana selalunya ia terkena muntah. Muntah bayi atau anak kita yang lain, perlu dibersihkan dengan berus dahulu. Jangan terus diletak dalam mesin basuh.

Muntah selalunya akan lekat dan tidak mudah hilang jika tidak dibersihkan dengan berus. Dah hilang muntah, jirus dengan air mutlak (air paip) sebanyak tiga kali, barulah dimasukkan dalam mesin basuh. Pakaian kita yang terkena muntah atau najis lain juga perlu dibersihkan dulu najisnya dan dibilas 3 kali dengan air yang mengalir sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh. Begitu juga denga seluar dalam, setelah dibersihkan, boleh dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Berhati-hati bila anak perempuan kita telah hampir baligh.. dalam umur 10 tahun ke atas, sentiasa cek seluar dalam mereka. Bila dah mula kekuningan tu, ajar mereka basuh seluar dalam tu. Gunakan sabun mandi biasa, insya Allah mudah hilang kekuningannya. Lepas tu bersedialah. Anak anda hampir baligh. Pastikan urusan fardhu ainnya mantap. Solatnya terjaga. Kalau ada pembantu rumah, jangan lepaskan semua tanggungjawab ini pada mereka.
Mengemop lantai juga tidak boleh dipandang enteng. Bersihkan dulu tahi cicak itu dengan tisu. ‘Lalu’kan air 3 kali. Bawa beg plastik, tisu dan air sebekas untuk urusan ini. Dah siap semuanya , barulah boleh dimop. Sebab tu, urusan membuang tahi cicak ni perlu dilakukan selalu. Tak boleh ditangguh-tangguh. Ha! Kalau tak nak cicak kat rumah, duduklah di rumah yang ‘hole free’. He he! Maksudnya, tutup semua lubang-lubang angin kat rumah tu. Lubang angin atas tingkap dan lubang angin bawah pintu. Insya Allah tak ada cicak. Tak pun, buatlah aktiviti-aktiviti menghalau cicak.

Syarat-syarat sah solat, ‘Suci dan Bersih’. Suci itu Bersih tapi Bersih tak semestinya Suci. Renungkan…Andai ada kekeliruan dalam bab pengurusan najis atau cara-cara membersihkan najis, rujuklah pada ustaz ustazah. Saya menunggu teguran dan komen-komen penambahbaikan dari anda.

Bersih Tidak Semestinya Suci - Bab 2

Ingat lagi ke waktu anak kita tengah ‘toilet training’. Ah! Menyeksakan! Ibu2 yang telah melalui zaman ini pasti ingat cabarannya. Tapi ia perlu dihadapi dengan kesabaran.

Anak kita kencing di tengah2 dunia. ..Jangan terus diangkat. Pastikan anak kita itu terus tetap ditempatnya. Kalau ada anak yang besar, boleh minta yang besar itu pastikan adiknya tidak bergerak. Ambil kain lap, letakkan di kaki anak kita. Lap kakinya dan tapak kakinya sampai kering, kadang2 perlu dibuka seluarnya. Setelah pasti tiada air kencing yang menitis, barulah kita angkat anak kita itu ke bilik air. Jangan disuruh anak kita itu jalan! Kalau dia sendiri yang berjalan-jalan keliling rumah kita. Sabar! Sabar! Ujian Allah tu! Uruskan anak kita dan urusan penyucian rumah kita sebaiknya.

Anak-anak yang sedang ‘toilet train’ itu juga perlu diajar cara yang betul untuk membuang air dan menyucikannya. Jangan buang air berdiri, perlu mencangkung. Kemudian, gunakan air mutlak (air paip) untuk bersuci. Bagi anak lelaki disangka senang, jiruskan sahaja di kemaluannya. Sebenarnya ada langkah selanjutnya, perlu ditolak sedikit kulit yang belum disunat ke belakang dan bersihkan kekotoran di sebalik kulit tersebut...disarankan bertanya kepada guru yang muktabar untuk maklumat lanjut!

Bagi anak perempuan pula, perlu gunakan tangan kiri untuk membersihkan celah-celah kemaluan. Tak boleh sekadar dijirus sahaja. Tidak suci dan takut ada lebihan najis yang akan terkena pada seluar anak kita.

Pastikan air yang digunakan untuk bersuci itu air mutlak. Kadang-kadang air yang digunakan itu air mustakmal. Itu tidak menyucikan. Macam mana air kita boleh terjadi air mustakmal? Atas besen itu ada paip dan paip itu digunakan untuk mengambil wudhu. Lebihan air wudhu itu akan masuk ke dalam besen dan digunakan untuk pembersihan najis. Bersih tapi tidak suci! Seeloknya ambil lah air terus dari paip untuk menyucikan.

Pendekata, mantapkanlah fardhu ain kita. Luangkan masa untuk menghadiri kelas-kelas fardhu ain yang semakin bercambah di surau-surau dan masjid. Semasa kecil kita belajar untuk ilmu, bila dah dewasa ni, kita belajar untuk amali. (Pesan ustazah saya!)

Wednesday, December 15, 2010

Bersih Tidak Semestinya Suci -Bab 1

Dalam menguruskan kebersihan, ilmu memainkan peranan penting. Dalam Islam, suci itu bersih, tapi bersih tidak semestinya suci. Nah! Di sinilah peranan kita sebagai pengurus rumah tangga dalam memastikan kesucian isi rumah terjaga. Ada beberapa insiden yang boleh mennyebabkan kesucian rumah kita tercemar. Ya, kita nampak bersih, tetapi sebenarnya tidak suci.

Kesucian rumah memang akan pasti tergugat bila kita mempunyai anak-anak kecil. Dari bayi sehingga la anak kita tahu menguruskan urusan tandas sendiri. Saya rasa ramai yang tidak perasan urusan pembersihan yang menyucikan ini. Yalah, alah bisa tegal biasa. Itu ilmu yang diturunkan turun temurun. Tapi disini, saya nak bentangkan pemerhatian saya. Kalau salah silap, mohon diperbetulkan. Saya juga masih belajar.

Pengurusan bayi memerlukan banyak perincian. Saya selalu nampak bila bayi buang air kecil dan terkena di lantai atau karpet, tempat yang terkena air kencing itu sekadar dipercikkan air. Tapi sebenarnya, hanya air kencing bayi lelaki di bawah umur 2 tahun dan hanya menyusu susu ibunya sahaja yang layak dibersihkan dengan cara ini. Ini kerana najis ini dikategorikan sebagai najis mukhaffafah. Bayi perempuan, lain kaedah penyuciannya. Begitu juga bayi lelaki yang sudah meminum susu formula, bukan kategori najis mukhaffafah. Nampak kan betapa tingginya nilai susu ibu dan betapa pentingnya anak itu disusukan sehingga berumur 2 tahun, walau dengan apa cara sekalipun. Hendak seribu daya!

Berbalik kepada cara penyucian air kencing bayi perempuan atau cara membersihkan najis lain yang tergolong dalam najis mutawassitah (boleh rujuk kitab fekah). Najis jenis ini perlu dibersihkan ‘ain’nya terlebih dahulu. Maknanya najis yang kelihatan itu, perlu dibersihkan sehingga hilang bau, warna dan rasa. (Gunakan sabun untuk hilangkan bau dan warna, dan tangan untuk memastikan ‘rasa’ najis itu tiada lagi).

Tapi ingat ya, proses ini belum lagi menyucikan. Selepas ini, kita ‘lalukan’ kain lap yang lembap dan bersih ke atas tempat yang terkena najis itu. Proses pertama siap. Basuh kain lap, perah, lalukan lagi ke atas tempat yang terkena najis itu. Proses kedua siap. Basuh lagi, perah dan lalukan ke atas tempat yang terkena najis itu buat kali ketiga. Itu yang dinamakan ‘melalukan’ air sebanyak 3 kali dalam kitab fekah.

Bila me’lalu’kan kain lap itu, jangan diulang ‘lalu’an itu dalam waktu yang sama. ‘Lalu’an kali kedua hanya boleh dilakukan setelah kain lap itu dibasuh. One way, ya, bukan, zig zag. Lebih mudah kalau tempat yang terkena najis itu boleh diangkat dan kemudian dijirus. Tapi kalau lantai yang terkena najis, takkan la kita nak angkat. Ya tak! Kecuali la tempat yang terkena najis itu dekat dengan bilik air. Boleh terus dilalukan air ke atasnya.. terus ke bilik air. Bila me’lalu’kan air tu, jangan lupa besarkan diameter permbersihan untuk membersihkan percikan-percikan.

Itu kalau tempat yang senang dilalukan air seperti lantai. Kalau tikar, lebih senang diangkat dan dijirus diluar, depan belakang. Lantai pun perlu dibesihkan kerana selalunya air kencing itu akan meleleh ke bawah. Kalau karpet… mencabar! Kalau karpet kecil, bolehlah dibersihkan di luar. Kalau karpet besar, dari apa yang saya belajar dari ustazah saya semasa kelas fardhu ain, letakkan besen di bawah tempat terkena najis dan lalukan air (setelah dibersihkan ‘ain’ najis itu) . Jadi lebihan air akan turun ke dalam besen. Pendekata, karpet ini menyukarkan penyucian. Jadi kalau ada anak-anak yang masih kecil, elok juga gunakan pendekatan ‘carpet free’.

Alihkan perabut anda...

Mengemas adalah tanggungjawab bagi kebanyakan dari kita termasuk saya. Tetapi menghias pula adalah hobi bagi saya.

Ada orang mengekalkan susun atur perabot selama-lamanya. Ada juga mereka yang terlampau sering mengubah susun atur perabot mereka - mengidam menjadi pereka hiasan dalaman barangkali. Saya pula, sesekali bermeditasi memikirkan apakah corak dan tema susun atur perabot yang terkini di rumah saya.

Mengubah susun atur perabot ada faedahnya. Yang pertama, hiasan dalaman kita mendapat nafas baru. Kita lebih berminat untuk menginap di kediaman kita dan mungkin lebih bersemangat untuk menguruskan kediaman kita.

Tetapi yang sebenarnya, dan alasan yang kedua, adalah ia memberi kita kesempatan untuk membersihkan daki2 debu dan kulat di tapak perabot tersebut. Sambil kita mengalihkan perabot, kita vakum tapak asal perabot tersebut yang pastinya bergelumang dengan pelbagai debu dan sawang. Bagi mereka yang alah kepada debu melampau, anda mungkin perlu mengenakan sarung tangan dan surgical mask - yang ala2 doktor tu...

Pembersihan ini bukan sahaja untuk tapak yang berdebu, tetapi juga merangkumi belakang dan sisi perabut. Sekiranya perabot tidak dialih sepanjang hayat, nescaya debu tersebut menjadi sebahagian dari hidup kita selama-lamanya bahkan bertambah dari semasa ke semasa.

Moga2 acara 2 dalam 1 ini memberikan tenaga aliran positif kepada kediaman kita dan juga menyegarkan minda selepas melihat hasilnya.

Tuesday, December 14, 2010

Tumpah

Untuk mereka yang mempunyai anak kecil, seringkali berlaku accident. Air atau makanan tumpah! Dulu, semasa saya muda remaja, apabila berlaku kejadian seperti ini, ibu saya akan cepat2 menyuruh kami adik beradik mengambil kain buruk. Letih juga kami berlari2 mencari dan membawa kembali kain buruk. Tidak kiralah samada waktu itu kami sedang makan atau berehat.

Setelah bertahun tinggal di rumah sendiri, saya mengerti sekarang kenapa ibu saya tergesa2 mengelap air atau makanan yang tumpah. Kepantasan itu penting kerana jika dilengah2kan, air tersebut akan meresap ke dalam karpet, alas meja, tikar dan sebagainya. Akibatnya kerja mengelap perlu melalui beberapa lapisan. Mungkin juga kesan jus, kicap atau coklat tersebut tidak akan hilang pada alas meja atau tikar kita. Atau lebih buruk lagi, air yang tumpah boleh mengalir ke merata tempat. Lebih penat jadinya. Kalau dibiarkan lebih lama, jus mungkin menjadi kering dan lekitnya lebih sukar tanggal dari permukaan meja atau lantai - perlu digonyoh dan disental!

Kesimpulannya, jangan bertangguh dalam hal makanan atau minuman tumpah...

Mengelakkan kerumitan terjadi, saya sendiri memilih rumah yang carpet-free. Bermakna, saya tidak membeli dan meletakkan carpet di rumah saya. Saya menggunakan tikar sahaja atau sebarang pelapik lantai yang lebih mudah diurus.

Friday, December 10, 2010

Resepi Ekspres dari Ibu - Cik Awa

Ibu saya ada banyak resepi-resepi ringkas dan ekspres tetapi tidaklah ekspres seperti Khadijah Ibrahim dalam rancangan dia yang 5 minit bersama Maggi tu.. Resepi ringkas ini mungkin dicipta agar lebih banyak masa dapat dimanfaatkan untuk mengemas rumah yang merupakan hobi utama ibu saya. Saya cuba kongsikan resepi2 tersebut di sini.
Saya ni tidak pandai dalam menentukan kuantiti bahan yang diperlukan. Kalau sekadar menyenaraikan jenis bahan yang akan digunakan, bolehla. Saya pasti pembaca-pembaca sekalian banyak pengalaman memasak dan handal menentukan kuantiti bahan. Saya tujukan entry ni khas untuk sesiapa yang mahu menjimatkan masa memasak seperti saya.

Berikut adalah beberapa resepi ringkas ibu saya.

a. Labu masak sahang (Saya pun tak pasti betulke ejaan ni. Ibu saya kata ni masakan orang Banjar.)

Bahan-bahannya:
Labu
Bawang merah
Ikan bilis
Lada hitam (bergantung kepada tahap kepedasan masing-masing)
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Cara-caranya:

Tumbuk ikan bilis, lada hitam dan bawang merah.
Labu yang telah dibuang kulitnya direbus setengah masak terlebih dahulu.
Setelah labu yang direbus tadi hampir setengah empuk, tambahkan air dan masukkan bahan-bahan yang ditumbuk tadi.
Kacau sehingga sebati dan biarkan seketika.
Kemudian masukkan garam dan gula. Masakan ni kena manis-manis sedikit, baru sedap.
Bila labu tu sudah masak betul, bolehla dihidangkan dan dimakan panas-panas bersama ikan goreng rangup.

Slurrrpp!!

*Masakan ini sangat sesuai bagi mereka yang sedang berpantang selepas bersalin.

b. Masak lemak lada

Bahan-bahannya:

Lada merah, lada hijau dan cili api
Belimbing buluh (optional)
Ikan bilis
Bawang merah
Bawang besar
Bawang putih
Sedikit belacan
Garam dan gula secukupnya
Sesenduk santan
Cara-caranya :
Mayang dan potong semua lada, cili api, bawang dan belimbing buluh
Masukkan semua bahan yang dipotong tadi ke dalam periuk
Masukkan juga belacan, ikan bilis, gula, garam dan santan
Masak di atas api yang sederhana
Kacau sentiasa supaya tidak pecah santan.
Jangan lupa merasa untuk pastikan gula, garam dan belacannya cukup
Bila dah mendidih, matikan api.

c. Sambal kicap
Ini bukanlah macam sambal kicap yang kita cicah dengan pisang goreng tu. Ni pun salah satu masakan orang Banjar..agaknya la..

Bahan-bahannya:

Lada merah, lada hijau, cili api
Ikan bilis
Bawang besar dan bawang putih
Kicap
Air asam jawa (kena banyak tapi jangan pekat sangat. nanti masam pulak)
Sedikit gula
Minyak masak

Cara-caranya:
Potong segala lada dan cili api yang ada
Potong juga segala bawang
Kemudian tumis semua lada, bawang, ikan bilis di dalam kuali
Setelah bahan-bahan yang ditumis tadi mula masak, masukkan gula. (Masukkan sedikit sahaja dulu)
Kemudian masukkan kicap dan air asam.
Kacau sebati dan rasa.
Kalau rasanya kurang, tuan-puan boleh tambah apa-apa yang patut sama ada kicap, air asam ataupun gula.

Selamat mencuba kesemua resepi di atas!

Masakan ni tidaklah istimewa sangat tetapi berbaloi untuk dicuba. Boleh juga kita ajar anak-anak kita supaya menikmati variasi makan yang ada di dunia ini supaya bila sampai masa kita melepaskan mereka sendiri mengharungi dunia luar, mereka tidaklah susah nak cari makan. Kata-kata salah seorang pensyarah saya dulu masih terpahat kuat di ingatan. Kata beliau "Walaupun hari-hari kita makan ayam, sekali-sekala kita kena ajar anak-anak kita makan ikan masin. Makan yang simple-simple supaya satu hari nanti hidupnya tidak akan jadi sombong, memilih dan cerewet."

Sekiranya perlu, boleh hubungi saya (Cik Awa) untuk maklumat lanjut - bersalut@yahoo.com

Wednesday, December 1, 2010

Ruang mati - bawah tangga


Ada satu saranan menarik hasil pembacaan saya berkenaan ruang di bawah tangga bagi rumah dua tingkat. Idea tersebut menyarankan agar membina built-in cabinet di bawah tangga tersebut. Kita boleh membina rak buku, rak hiasan atau apa2 saja kabinet untuk tujuan penyimpanan. Abang ipar saya sendiri menggunakan idea ini di rumahnya dengan membina kabinet buku di bahagian bawah tangga di rumahnya. Ini adalah satu langkah penjimatan ruang!

Yang penting, ruang tersebut jangan dibiarkan sebagai tempat lambakan barang2 tanpa susun atur yang kemas. Walaupun ruang itu tidak strategik dalam rumah kita, tetamu yang bertandang mungkin menilai ketidaktelitian kita. Justeru, ruang ini tidak boleh dianggap mati!

Cadangan pertama adalah dengan cara mengatur kerusi santai di bawah tangga tersebut dan dihias sebagai ruang santai. Sedikit bahan bacaan disusun mungkin juga beserta radio sebagai tujuan untuk merehatkan minda.
Jika ruang tersebut agak luas, boleh juga diletakkan TV di bawah tangga tersebut dan dijadikan pula ruang menonton bagi keluarga.

Ada juga yang menjadikan ruang tersebut sebagai ruang bekerja dilengkapi dengan meja dan komputer.

Jika dibiarkan kosong, ia mungkin satu pembaziran ruang. Cubalah ikhtiarkan untuk mengusahakan ruang tersebut. Setidak2nya jadikan mini-library untuk menggalakkan minat membaca.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...