Thursday, March 17, 2011

Beli Barang Percuma Pinggan!

Apakah kaitan antara barang percuma dengan mengemas? Jawapannya, lebih banyak barang di rumah, lebih banyak kerja mengemas yang kita perlukan. Selain itu, lebih banyak pula penstoran yang diperlukan dan penstoran ini juga mengambil masa kita untuk dikemaskini dan digilap sekali-sekala.

Umum mengetahui, antara taktik perniagaan adalah, beli satu barang, percuma mangkuk, pinggan, mug dan berbagai lagi. Beli ubat gigi, percuma berus gigi. Beli sabun, percuma pinggan atau mug serta berbagai lagi. Sehingga ada teman membuat lawak, kenapalah apabila membeli bawang tidak dapat percuma barangan! Kalau bawang pun membuat tawaran sedemikian, pasti sudah penuh pinggan mangkuk dalam almari.

Untuk pasangan yang baru berkahwin, tarikan sebegini banyak faedahnya. Saya sendiri peka kepada tawaran2 percuma sebegini di awal perkahwinan. Yelah, baru berkahwin, tak cukup bajet nak menyediakan semua. Keperluan rumahtangga cukup2 untuk keperluan peribadi dan dua atau tiga orang tetamu sahaja.

Jadi, saya mengikut nasihat seorang sepupu saya agar mengambil kesempatan atas tawaran percuma pinggan, beg, tupperware dan berbagai lagi. Kesemua itu boleh dibuat stok rumahtangga dan aset sementara. Bila sudah berkemampuan bolehlah kita meningkatkan mutu barangan milik kita!

Setelah sekian lama berumahtangga, tawaran ini masih menarik perhatian. Saya rasa pasti ramai surirumahtangga yang tertarik dengan tawaran barang percuma. Nama pun percuma, siapa yang mahu menolak rezeki. Rezeki jangan ditolak...

Untuk golongan yang agak senior, tarikan ini perlu difikirkan semula. Yelah, dalam almari sudah ada jenama Corelle, IKEA, Corningware dan berbagai lagi pinggan mangkuk ceramic yang lain. Perlu ke menambah koleksi barangan free? Kadang2 semangat mengumpul tu tinggi tapi bila memakai sekadar hangat2 tahi ayam. Barangan yang dibeli pula tidaklah diperlukan sangat. Akibatnya koleksi barangan percuma yang tidak berapa diperlukan bertambah dan bertambah di dalam almari buat pengumpul debu pula.

Tambahan lagi, untuk golongan senior, mungkin sering mendapat hadiah dari jabatan sempena hari keluarga, cabutan bertuah annual dinner atau sahaja aktiviti sukaneka dan juga hadiah harijadi dari teman2 tersayang. Memang sumber koleksi sudah bertambah apabila umur semakin meningkat.

Setelah kita di peringkat pertengahan perkahwinan, kita perlu menilai semula - perlu ke barang-barang percuma tersebut? Atau pun kita sekadar mengikut arus, rugi kalau menolak barang free? Seharusnya, langkah bijak diawal perkahwinan perlu difikirkan semula. Setiap kali kita membeli kerana inginkan hadiah percuma, tanya diri sendiri, samada barangan itu diperlukan atau sekadar ingin mengambil kesempatan memiliki barang percuma? Jangan khuatir jika tidak memiliki. Lebih khuatir jika sekadar menuruti nafsu untuk memiliki tetapi akhirnya barang terabai tidak digunakan.

Wajar jika hanya memilih makanan percuma atau kosmetik percuma yang akan lupus setelah digunakan. Bagi saya, sekiranya mahukan rumah yang kemas dan mudah diurus, kurangkanlah hobi mengumpul barang.

Friday, March 4, 2011

Membersihkan tilam

Tilam adalah tempat kegemaran kita. Sekembali dari pejabat, kita sering memandang geram ke tilam dan sesiapa yang kalah, akan merebahkan badan yang letih lesu di tilam sebelum berangkat ke bilik mandian pula.


Malangnya, bagi yang sudah beranak kecil, keadaan tilam yang suci kadangkala tercemar dengan pembuangan sisa bayi. Bukanlah sisa air besar, tetapi lebih kerap adalah air kecil sahaja. Lebih malang lagi, jika anak yang berusia 3-6 tahun masih mengalami "kebocoran" sekali-sekala di waktu malam.


Kebocoran ini dapat dikesan dari baunya. Yelah, najis yang kurang berwarna, apalagi jika diselimuti gebar dan bantal, kurang dapat dikesan puncanya. Tetapi, hidung para ibu yang sensitif, pasti dapat mengenalpasti kehadiran najis ini.

Sebelum ini ada ditulis siri artikel yang bertajuk Bersih Tidak Semestinya Suci. Di sini saya ingin berkongsi lebih lanjut mengenai kebersihan dan kesucian bab tilam untuk tatapan para pembaca budiman.


Secara teorinya, najis perlu dibersihkan hingga hilang ain, warna, bau dan rasanya, sedaya upaya kita. Kalau bercakap mengenai baju, ia mudah dibersihkan disinki sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh. Tetapi bercakap mengenai tilam, bagaimana pula proses mengangkat dan membilasnya...agak rumit. Membersihkan tilam memang rumit kerana lapisan yang tebal dan sudah tentu najis mudah meyerap jauh ke dalam. Walaubagaimanapun, tugas kita adalah mencuba sedaya upaya membersihkannya.


Kerana saya anak yang kedua dari sembilan beradik, dulu saya sering diarah untuk mencuci tilam yang dicemari oleh najis adik2 saya. Pada waktu itu, ada dua jenis tilam di rumah saya, tilam kekabu yang berat bertan2 dan tilam biasa yang boleh diangkat ke luar rumah.


Sekiranya tilam kekabu, saya tiada kederat untuk mengangkut tilam keluar, jadi teknik berikut perlu digunapakai. Arahan pertama dari ibu saya adalah mengambil kain buruk yang agak besar dan tekap najis tadi agar dapat menyerap air najis sebanyak2nya. Saya pun akan menekap dan menekap sehingga agak2 lenguh tangan saya. Kemudian, kain buruk akan dibasuh bersih2 dan diperah.


Arahan kedua adalah membawa sebekas air dan curahkan sedikit ke atas kesan najis tersebut dan kali ini saya diarahkan menyental sekuat2nya kawasan tersebut dengan kain buruk yang telah dibersihkan sebentar tadi. Proses ini boleh diulang sebanyak 3 kali, agak2 kita yakin, baunya dan ainnya sudah hilang. Kemudian ambil kain buruk yang kering dan letakkan di atas kawasan yang basah untuk menyerap lebihan air yang tinggal agar tilam lebih cepat kering.

Sekiranya tilam agak ringan seperti yang banyak terdapat di zaman moden ini, kita boleh mengangkatnya keluar rumah dan didirikan ke dinding. Pastikan kawasan najis di tilam berhadapan dengan kita. Pastikan juga paip air dan getah ada berdekatan. Apalagi, pancutkan air ke arah kawasan bernajis dan pancutlah sehingga kita yakin najis tersebut sudah larut dan dapat dibersihkan. Tilam tersebut boleh dijemur di panas dan biarkan sehingga kering sebelum dibawa masuk semula.

Ada orang mungkin berpendapat, tilam tidak dibawa sembahyang, jadi tidak perlu begitu berhati2 dari segi pembersihan. Benar, tetapi baunya agak semerbak jika dibiarkan, kurang enak untuk pernafasan kita.


Ada juga yang mengambil jalan ringkas dengan menjemur sahaja tilam tersebut, sekadar menghilangkan bau sahaja dan menjadikan tilam lebih garing! Saya pun tidak pasti setakat mana keberkesanan teknik ini, tetapi sekurang2nya baunya lebih ringan dari asal.


Bukan keselesaan sahaja matlamat utama, kesucian sepatutnya adalah prioriti kita.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...