Wednesday, April 20, 2011

Disiplin ke tandas

Seringkali, kita mengungkit budaya bangsa Jepun dalam bab kemas-mengemas ini. Saya pernah terdengar orang bercerita bahawa orang Jepun akan secara otomatik menyusun selipar atau kasutnya mengadap ke luar. Lalu, apabila mereka keluar rumah, mereka akan terus menyarung selipar tanpa perlu berpusing mengadap rumah. Rajin sungguh, dan komited sungguh mereka.


Satu lagi budaya orang Jepun yang saya pernah dengar, mereka sering mengingatkan agar meninggalkan tandas dalam keadaan asal seperti sebelum kita menggunakannya. Maksudnya, jika tandas tersebut dalam keadaan bersih, pastikan kita tinggalkannya dalam keadaan bersih juga. Kalau keadaan tandas asalnya kotor, jangan pula kita membalas pada orang seterusnya...

Proses menggunakan tandas ini pun perlu diajar kepada segelintir kita. Ramai orang tahu teknik beristinjak dengan baik tetapi meninggalkan tandas dalam keadaan berbau tanpa dijirus dengan rapi.


Bagi kami adik beradik, kami sering dipesan agar menjirus najis dengan jirusan yang banyak. Saya sendiri menetapkan anak2 saya menjirus najis mereka sebanyak 20 jirusan. Saya kurang senang apabila anak saya menjirus sekali dua sahaja kemudian apabila saya menjengah ke tandas, baunya, subhanallah! Amat memeritkan hidung saya. Kerana anak2 saya kebanyakannya lelaki, mereka memerlukan arahan teknikal berbentuk nombor agar lebih mudah dilaksanakan.


Saya juga menetapkan agar jirusan perlu disimbah dari segenap arah bilik air, jangan setakat satu arah sahaja. Maksudnya, jiruslah dari kiri, dari kanan, dari belakang, dari sudut2 bilik air dan melengkapi 360 darjah agar hilang bau dan kesan najis tersebut. Simbahan perlu dilakukan dengan kadar perlahan atau sederhana kuat agar najis tidak terpercik hingga ke merata tempat dan dikhuatiri terkena pakaian kita pula.


Zaman sekarang, orang tidak lagi membuang secara bertinggung, tetapi sudah meniru cara barat iaitu membuang dengan cara yang kononnya lebih elegan - cara duduk. Jamban duduk tidak memerlukan jirusan yang melampau banyaknya. Tetapi, anda perlu teliti kesan2 najis jika ada yang terpalit ke atas sewaktu air pam mengalir dengan kuat. Mungkin ada kesan di bawah tempat duduk jamban tersebut. Jadi, elok diangkat dan diteliti. Mungkin juga ada sisa2 yang terlekat di mangkuk tidak dapat dialirkan dengan efektif oleh air flush tadi. Jadi, perlu dijirus secara manual dan jika perlu diberus dengan berus jamban.


Ada sesetengah pihak mengatakan bahawa sewaktu mengepam jamban, seeloknya cover seat diturunkan agar jamban tertutup dan tiada kuman atau bakteria yang dapat bertempiaran keluar. Baunya juga tidak dapat merebak ke merata tempat, hanya terkumpul di tempat tersebut sahaja.


Sekiranya kita mandi, selesai mandi, bersedekahlah tenaga dengan membetulkan kembali tempat sabun, berus gigi dan lain peralatan agar kemas seperti sewaktu kita melangkah masuk tadi. Sebelum membuka pintu bilik mandi, perhatikan sekeliling bilik air dan peralatannya untuk memastikan kesemuanya dalam keadaan yang bersih dan rapi. Sekiranya ada kesan2 buih sabun dan syampu melekat di dinding, elok dijirus biar hilang kesannya. Begitu juga serpihan buih yang tempias ke dinding semasa memberus gigi, janganlah lokek tenaga menjirus dan membersihkannya.


Pendek kata, sisa anda bukan untuk santapan mandi orang lain. Begitu juga sisa najis anda bukan untuk dikitar semula kepada orang lain. Salam hormat! Salam mengemas!

Monday, April 11, 2011

Bilik tidur atau lubuk tidur!

Bagi sesetengah orang, bilik tidur adalah tempat rehat utama. Jika begini anggapan kita, maka ruang tidur dihias dengan suasana tenang dan nyaman sesuai dengan tema bilik tidur sebagai ruang rehat. Keperluan di bilik tidur cuma katil dan meja sisi, meja solek, almari baju dan mungkin kerusi empuk untuk bersantai.

Bagi sesetengah orang lain pula, bilik tidur adalah tempat privasi dan ruang peribadi. Maka segala koleksi peribadi disimpan di dalam bilik tidur. Di kepala katil ada bungkusan tempat menyimpan cadar2 lama. Di sebelah katil ada bungkusan dan kotak2 tempat menyimpan baju2 lama. Di bawah katil pula ada disimpan koleksi gambar2 peribadi dan barang2 usang yang mungkin memberikan kesan sentimental value kepada kita. Semua mahu diletak di bilik kita. Yelah, nama pun bilik kita.


Perlukah kita menjadikan bilik tidur tempat timbunan harta karun kita? Hanya kita sendiri yang boleh menjawabnya. Walaubagaimanapun, bilik yang penuh dengan koleksi peribadi sedikit sebanyak akan mengganggu keselesaan kita berehat. Barang2 ini berdebu dan perlu dibersihkan selalu, jika tidak tilam kita juga dijangkiti debu sedikit sebanyak. Barang2 ini juga mungkin memerangkap serangga seperti semut, dan labah2 yang akan membuat sarang dan sawang di celah barangan yang kurang perhatian. Apabila sekali2 sekala kita mengalihnya, sarang ini sudah membusut atau sawang sudah berselirat. Soalan seterusnya, sihatkah udara yang kita hidu saban malam?


Persoalan yang menjadi tajuk di atas: bilik tidur atau lubuk tidur? Saya sendiri berpendapat bahawa kita perlu meminimakan kelengkapan dan perkakasan di bilik tidur. Itu sahajalah bilik peraduan tempat kita merehatkan tubuh dan minda setelah melaksanakan pelbagai tanggungjawab sebagai insan.



Barang sentimental sewajarnya diletakkan ke dalam bekas2 bersesuaian dan disimpan di dalam almari simpanan atau ke dalam stor sahaja. Selebihnya yang sudah terlalu usang bolehlah dilontarkan sahaja ke tong kitar semula atau menyerahkan kepada yang lebih memerlukan. Sila rujuk post saya bertajuk "Asal kapas jadi benang" yang telah ditulis dahulu.


Barang2 berkenaan kerja serta peralatan menulis boleh dialihkan ke meja kerja yang seeloknya diletakkan di luar bilik tidur kita. Cari ruang yang bersesuaian untuk bekerja dan bukan di bilik tidur yang mengganggu lena pasangan atau ahli keluarga kita.


Koleksi pakaian dan aksesori peribadi yang melimpah ruah juga elok disediakan almari simpanan yang mencukupi. Kalau almari sepanjang 10 pintu masih belum dapat menampung koleksi pakaian kita, kita mungkin perlu membuat keputusan - simpan atau sedekah. Wajarkah kita menyediakan sehingga dua tiga bilik semata2 untuk menyimpan koleksi pakaian dan aksesori kita? Bukankah lebih berfaedah jika bilik2 tersebut dijadikan tempat solat atau bilik bacaan di rumah kita...sekadar cadangan...


Bukan mahu merendahkan mana2 pihak, tetapi bagaimana rasanya kualiti rehat kita jika tidur dan rehat ditemani semak dan samun barangan di sekeliling katil peraduan. Ramai yang mungkin mengaku tidak kisah, tetapi cuba alihkan dahulu barangan, dan cuba rasa perbezaannya kelak.

Bak kata ibu saya, rumah yang bersih dan kemas bukan hanya hakmilik orang yang kaya dan berada. Biar kita kurang berkemampuan dan rumah kita ringkas sahaja, tetapi biarlah ia bersih dan rapi seperti yang dianjurkan oleh agama kita.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...